REMUK ... Sebuah bas dan kereta jenis Proton Iswara bertembung di kilometer 7, Jalan Kangar- Padang Besar ketika dalam perjalan pulang daripada majlis akad nikah di Kangar, semalam. Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat yang terbunuh dalam kemalangan itu. Turut terbunuh ialah ibu bapa dan rakan Mohd Ariff. -Foto BERNAMA
KANGAR: Seorang pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat orang yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan pertembungan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.
Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.
SEBAK ... Isteri mangsa kemalangan yang baru empat jam diijabkabul, Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23 ketika tiba di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, semalam.
Katanya kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat sini sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.
Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zull Aznam berkata kereta yang dipandu Abdul Kadir, seorang pesara pembantu makmal Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, dipercayai pancit tayarnya menyebabkan kenderaan yang sedang menghala arah Beseri itu tidak dapat dikawal lalu bertembung dengan bas pesiaran yang membawa pelancong dari Selangor itu.
"Kami masih menyiasat punca kejadian. Pemandu bas itu juga telah direkodkan kenyataannya," katanya semasa ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri ratusan sanak saudara mangsa manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.
Kerja-kerja gotong royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya, Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23, dibatalkan.
MOHD Ariff dan isteri pada majlis akad nikah mereka, semalam.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin yang merupakan jiran kepada mangsa berkata kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit dan majlis kenduri perkahwinan Mohd Ariff dijadualkan Ahad ini.-BERNAMA
ORANG ramai melihat kereta yang remuk bertembung dengan bas mengorbankan tiga beranak (Ab Kadir Awang, Apsah Othman, Mohd Ariff) dan seorang rakan (Mohd Farhan), semalam.
Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil
ALOR SETAR: Majlis kenduri meraikan perkahwinan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, bersama suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang maut dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar bertukar majlis tahlil dengan pengurusan diambil alih Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Anak Bukit, bermula malam tadi.
Setiausaha Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Abd Jabir Mokhtar, 50, berkata pada mulanya pihak pengantin perempuan berhasrat mengadakan majlis khatam al-Quran pada sebelah malam diikuti kenduri kahwin hari ini, namun kedua-duanya terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.
"Perkara berlaku tanpa diduga dan kami sebagai jiran mengambil alih pengurusan majlis yang tetap perlu diteruskan.
"Kita jalankan majlis seperti biasa dengan menerima 1,500 tetamu yang sudah dijemput selain pihak perempuan juga mengeluarkan belanja besar sekitar RM12,000 untuk majlis ini.
"Sekarang menjadi tugas kami untuk menjayakan majlis tahlil itu dan memastikan semua tetamu dilayan dengan baik.
"Kami bersimpati dengan Teh Affifah dan keluarga kerana mereka memang dikenali sebagai orang yang baik dan mempunyai hubungan akrab dengan jiran.
"Teh Affifah juga seorang gadis yang lemah lembut dan baik budi pekerti," katanya ketika di temui di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment